Skip to main content

Negeri-negeri Melayu di Tengah dan Selatan Sumatera

Sebelum ini, penulis telah dedahkan mengenai kehancuran Kesultanan-kesultanan Melayu di wilayah Sumatera Timur iaitu Langkat, Deli, Serdang Darul Arif dan Asahan. Artikel ini merupakan siri terakhir bagi ‘Negeri-negeri Melayu di luar Malaysia’, iaitu dengan menyusuri pula ke beberapa buah negeri Melayu di kawasan wilayah tengah dan selatan pulau Sumatera. Untuk makluman, artikel ini tidak akan memasukkan Kerajaan Minangkabau dan Kesultanan Acheh Darussalam kerana di Indonesia, suku Minang dan suku Acheh dianggap sebagai dua etnik yang berbeza dengan suku Melayu.






Wilayah Melayu di pulau Sumatera terbentang luas daripada Temiang di sebelah utara yang bersempadan dengan Acheh, hinggalah ke Palembang di sebelah selatan yang bersempadan dengan Lampung. Selain daripada negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur, terdapat juga enam buah negeri Melayu di kawasan tengah dan selatan pulau Sumatera iaitu bermula dengan Kesultanan Lingga (termasuk kepulauan Riau), Kesultanan Siak Sri Indrapura, Kesultanan Pelalawan, Kesultanan Indragiri, Kesultanan Jambi dan Kesultanan Palembang. Daripada enam Kesultanan Melayu tersebut, sebanyak empat daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Melaka dan pewarisnya iaitu Kesultanan Johor yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu.

Paling menarik minat penulis, adalah mengenai asal kewujudan Kesultanan Indragiri. Sejarah umum menyatakan bahawa Kerajaan ini berdiri pada tahun 1298 dan didirikan oleh Putera Mahkota Kerajaan Melaka yang bernama Raja Merlang I. Ketika tempoh awal penubuhannya, Raja-raja Indragiri dikatakan masih berkedudukan di Negeri Melaka. Perhatikan tarikh penubuhan Kerajaan ini yang dikatakan bermula pada tahun 1298, sedangkan persepsi umum menerima bahawa Kesultanan Melaka hanya mula didirikan sekitar tahun 1400-an Masihi.

Semasa berbincang dengan waris Raja Indragiri, penulis mengusulkan bahawa ‘Melaka’ yang dinyatakan disini sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua. Penulis memberi hujah, isu ini sama seperti kisah Raja Brunei iaitu Awang Alak Betatar @ Sultan Muhammad Syah yang telah memeluk Islam pada tahun 1363 hasil perkahwinannya dengan Puteri Pingai, puteri Sultan Iskandar Syah dari Negeri Johor, sedangkan Kesultanan Johor hanya bermula selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 Masihi. Maklumat dari Pusat Sejarah Brunei bersepakat menyatakan bahawa Puteri ‘Johor’ yang dinyatakan disini adalah Kerajaan Singapura Tua iaitu waris daripada Sang Nila Utama. Waris Raja Indragiri itu tidak menolak kemungkinan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau juga menegaskan tidak mustahil juga Raja Indragiri yang pertama ini merupakan zuriat langsung dari Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang.



Lambang Kesultanan Siak dan Kesultanan Pelalawan berbentuk naga beralih (dua naga saling mengadap). Dikatakan lambang Kesultanan Indragiri juga berbentuk begini sebagaimana yang terdapat di istana asal Indragiri yang telah runtuh ke dalam sungai pada tahun 1960-an.


Kesultanan Siak Sri Indrapura dan Kesultanan Pelalawan pula merupakan dua buah Kerajaan Melayu bersaudara. Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil, yang dibesarkan di Pagaruyung (Minangkabau) dan mendakwa dirinya sebagai pewaris yang sah bagi Sultan Mahmud Syah II, Sultan Johor lama yang telah mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris. Raja Kecil kemudiannya berjaya menduduki tahkta Johor lama dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah I, tetapi tidak lama kemudian disingkirkan oleh bangsawan Bugis sebelum berundur ke Siak dan mendirikan Kerajaan baru. Kesultanan Pelalawan pula didirikan pada awal abad ke-19 oleh Syarif Abdul Rahman, saudara kepada Sultan Ali, Raja Siak. Baginda telah mengambil alih kedudukan Pelalawan dan menjadi penguasa di kawasan tersebut, dengan mendapat perkenan daripada Sultan Siak dan diakui oleh penjajah Belanda.



Tokoh korporat negara, Tan Sri Syed Yusuf bin Tun Syed Nasir, yang berketurunan Sultan Siak, menerima Anugerah Adat Kesultanan Siak.


Kesultanan Lingga pula wujud selepas perpecahan empayar Johor lama yang pada asalnya merangkumi Negeri Pahang moden, Johor moden, pulau Singapura, serta kepulauan Riau, tetapi telah berpecah kesan daripada perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1824. Putera tertua kepada Sultan Mahmud Syah III dari empayar Johor lama, iaitu Tengku Hussein dilantik menjadi Raja Johor dengan berpusat di Singapura yang di bawah pengaruh Inggeris, sementara kekanda tirinya, Tengku Abdul Rahman pula yang sebelum itu mewarisi takhta Johor lama, menjadi Raja Lingga yang menguasai kepulauan Riau yang di bawah pengaruh Belanda. Perjanjian inilah yang telah memecahkan hubungan erat antara negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu dengan negeri-negeri Melayu di Sumatera dan membentuk sempadan politik Malaysia-Indonesia seperti yang wujud pada hari ini. Kesultanan Lingga telah dihapuskan oleh penjajah Belanda tanggal 3 Februari 1911, dan sebelum itu, penjajah Belanda juga telah menghapuskan Kesultanan Palembang pada tahun 1825 dan Kesultanan Jambi pada tahun 1906.

Menjelang fasa kemerdekaan Republik Indonesia, hanya tiga buah negeri sahaja yang masih diperintah oleh Raja-raja Melayu iaitu Siak, Pelalawan dan Indragiri. Walaubagaimanapun, berbeza dengan pendirian Raja-raja Melayu di Sumatera Timur yang masih berkeras mempertahankan kuasa dan negeri mereka, Raja-raja Siak, Pelalawan dan Indragiri pula bersedia untuk turun daripada takhta dan menyerahkan kekuasaan mereka kepada pihak Republik yang berpusat di Jakarta. Sejarah kemudian telah mencatatkan nasib dan tragedi yang menimpa Raja-raja Melayu serta kerabat mereka di Sumatera Timur.

Pada hari ini, para pewaris dan kerabat Kesultanan Melayu di wilayah tengah dan selatan Sumatera juga tidak ketinggalan untuk membangunkan kembali institusi Raja Melayu untuk melestarikan warisan dan kebudayaan negeri mereka. Terdapat sebilangan dari mereka yang sangat aktif dengan menyertai Festival-festival Keraton yang diadakan di Indonesia.



Tengku Abdul Rahman, waris Kesultanan Lingga



Tengku Mukhtar Anum, Raja Siak



Tengku Kamaruddin Haroen, Raja Pelalawan



Tengku Arief ibni Sultan Mahmud Syah, Raja Indragiri



Tengku Abdul Rahman Thaha Syaifuddin, waris Kesultanan Jambi



Sultan Iskandar Mahmud Badaruddin, Raja Palembang bersama isterinya

__._,_.___


Comments

Popular posts from this blog

Kisahnya

Misteri Danau Tok Uban dan Kisah Bukit Panau digg Assalamualaikum. Kalau hendak dihitung memang tak terkira banyaknya tempat-tempat misteri di negara kita. Selalunya sesuatu yang misteri itu dianggap sebagai tahyul dan hanya rekaan semata-mata atas sebab tertentu. Contohnya cerita-cerita berkaitan dengan hantu ataupun pantang larang orang tua-tua. Ianya tak lari daripada tujuan yang baik tetapi dengan cara yang menakut-nakutkan orang. Itu cara orang dulu-dulu. Tapi tidak semua yang misteri itu adalah tahyul. Kita kena akui ada perkara yang di luar tahap pemikiran logik kita walaupun ianya susah untuk diterima. Hanya orang yang ‘terpilih’ saja yang boleh ‘merasa’ kemisterian sesuatu tempat atau perkara berdasarkan anugerah daripada Allah s.w.t. Bagi aku yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dalam diri ni hanyalah sekadar berminat untuk mengorek cerita dan untuk mengetahui sejarahnya serta apa rahsia yang terdapat di suatu tempat tersebut. Salah sat

Perjuangan sebenar Tok Janggut

Saya yakin ramai yang mengenali Tok Janggut. Tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang kisah hidupnya? Kewujudan Tok Janggut dan perjuangannya pasti ada kaitan dengan nasib malang yang menimpa umat Islam seluruh dunia ketika itu, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Cuba fikirkan, betapa selama ini sejarah kita telah diputar belit oleh X   kuffar . Mereka berjaya mengalihkan pandangan seorang pelajar sekolah, bahawa perjuangan seorang Tok Janggut adalah kerana mempertahankan kuasa politik tradisional dan membantah cukai semata, sedangkan beliau sebenarnya mempertahankan Al-Haq! Malah mereka telah berjaya melabel dan menanamkan dalam pemikiran kita bahawa Tok Janggut adalah penderhaka dan pemberontak. X  kuffar telah berjaya memanipulasi pemikiran umat islam di nusantara ini ( baca: gugusan kepulauan melayu ), bahawa tahap tertinggi dicapai bagi seorang Islam adalah apabila ia telah berjaya dan selesai mengerjakan haji ke makkah al-mukarramah. P

ASAL USUL NAMA KEDAH, LAMBANG KEDAH DAN LAMBANG NUSANTARA

Menurut sumber maklumat yang diwasiatkan oleh Yang Teramat Mulia Penghulu Tajar Kedah Tuanku Nai Long Mahmud cucu Maharaja Melayu Sultan Jaafar Muadzam Shah, makna Kedah dalam bahasa Melayu Siam ialah berasal dari perkataan KEDAT yang bermaksud Kertas atau Watikah. Dalam bahasa Thai pula menyebut Kradat. Watikah ini ialah satu amanat yang dibawa oleh Merong Mahawangsa ke Nusantara. Setelah Maharaja Empayar Islam China Dinasti Tang Maharaja Sai Tee Song pada tahun 650M memeluk Islam, baginda telah mengarahkan cucunya Sultan Muzaffar Shah Merong Mahawangsa membuka kerajaan di Nusantara. Dalam penulisan sekarang kononnya Kedah berasal daripada perkataan Mangkuk Padi. Cuba anda semua lihat dengan teliti rajah dibawah ini; Cubaan kerajaan British untuk menukar nama Kedah (Watikah) kepada Kedah Mangkuk Padi bermula pada zaman Paduka Seri Sultan Muhammad Jiwaz bin al-Adilin Muadzam Shah lagi sepertimana mereka menukar nama Bandar Hilir Kota Portugis kepada nama M