Hulubalang Melayu

Hulubalang Melayu

Saturday, November 24, 2012

Zainal Al-Johan Gigih Kumpul Artifak Melayu

Diolah semula daripada laporan asal oleh wartawan Mohd. Shukri Mohd. Ariff dalam Dewan Masyarakat keluaran November 2009
Tentu pelik pada zaman moden ini melihat seseorang berpakaian seperti pahlawan Melayu dahulukala. Siap dengan lilitan pontoh dan keris panjang tersisip di pinggang. Insan unik ini boleh dijumpai di Kampung Tanjung Sena Hulu, Rembau, Negeri Sembilan. Empunya diri bernama Zainal Al-Johan. Insan ini bukanlah calang-calang orang. Beliau merupakan cucu kepada Dato’ Putih Haji Mohd Yusof bin Abdul Hamid, pembantu khas Dato’ Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau). Beliau pernah menuntut di Akademi Marin di California, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai Komandan Kem Tentera di Kubang Pasu, ketika era Tun. Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.

Menariknya, Zainal ini sering membawa Keris Tempa Melaka yang pernah digunakan oleh Hang Tuah ke mana-mana sahaja. Keris Tempa Melaka ini merupakan keris kedua Hang Tuah selepas Keris Taming Sari. Keris ini dibuat daripada 21 jenis besi dan mempunyai 21 lok merupakan hadiah Sultan Melaka kepada Hang Tuah dan kini berusia hampir 600 tahun.

Zainal Al-Johan merupakan seorang pengumpul artifak Melayu. Minat tersebut mula timbul selepas bertemu dengan rakannya, Allahyarham Prof. Norhalim Haji Ibrahim, pengkaji sejarah, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia dan bekas kurator Muzium Adat Negeri Sembilan yang mengeluh kerana hanya mampu menulis berkenaan dengan sejarah kegemilangan tamadun Melayu Melaka tanpa mempunyai artifak bagi membuktikan kebenaran faktanya.

Keluhan tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Zainal. Beliau mula berbincang dengan beberapa orang rakannya dan kemudiannya tertubuhlah Teraju Istiadat Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Rembau. Syarikat ini tidak bermotifkan keuntungan tetapi mengkhususkan kepada aktiviti carigali dan mengumpulkan artifak Melayu. Kos operasi bagi carigali yang menjangkau ratusan ribu ringgit diperuntukkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Teraju Istiadat sendiri.
Teraju Istiadat mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Muzium Adat Negeri Sembilan dan Muzium Negeri. Setiap aktiviti carigali yang dilaksanakan hanya dijalankan selepas mendapat kelulusan dan permit daripada pihak muzium. Dan setakat ini, Teraju Istiadat dibenarkan untuk menyimpan artifak yang dijumpai.

Usaha untuk mendapatkan artifak Melayu yang hampir pupus ini bukanlah mudah. Teraju Istiadat terpaksa melibatkan ramai tenaga pakar daripada pelbagai agensi dan melibatkan dua kaedah proses pencarian iaitu kaedah saintifik dan kaedah spiritual. Kebanyakan artifak yang ditemui berada di dasar laut dengan kedalaman melebihi 100 meter. Gabungan kaedah saintifik dan spiritual ini menghasilkan kejayaan hampir 100 peratus.

Maklumat mengenai sesuatu artifak biasanya disampaikan oleh informan di seluruh Malaysia dan akan diteliti dengan terperinci oleh pihak Teraju Istiadat sebelum memulakan kerja pencarian. Informan kemudian akan dibayar mengikut harga artifak yang ditemui. Semua artifak ini disimpan di rumah ibu Zainal di Rembau.




Teraju Istiadat kini sudah menyimpan hampir 200 buah artifak Melayu. Antaranya adalah sekeping dinar emas zaman Parameswara, yang harga pasaran semasanya 25 juta Euro (RM126 juta), dan cawan Puteri Hang Li Po yang dihadiahkan kepada Sultan Melaka, harga pasarannya tidak kurang 5 juta Euro (RM25 juta).



Banyak koleksi artifak yang ditemui menggambarkan tamadun Melayu pada masa dahulu, sama ada dari sudut teknologi, sistem pemerintahan, pembangunan bandar dan sebagainya. Namun, Zainal percaya artifak yang telah beliau temui hanya menggambarkan sebahagian kecil keagungan tamadun Melayu silam yang kebanyakannya masih belum ditemui.

Sebagai contoh, keris Tempa Melaka yang digunakan oleh Zainal. Menurut beliau, antara senjata tradisi dunia yang dianggap terhebat pernah dicipta ialah Pedang Samurai yang digunakan pada era kegemilangan Shogun Tokugawa di Jepun. Pedang Samurai terhebat pernah dicipta menggunakan 12 jenis besi. Tetapi, beberapa pengkaji Jepun yang meneliti keris Tempa Melaka yang dicipta oleh seorang Melayu bernama Sang Guna terperanjat apabila mendapati ia dicipta menggunakan lebih 21 jenis besi.

Begitu juga dengan manusia pertama yang belayar mengelilingi dunia iaitu Panglima Awang pada era 1400-1500. Beliau tidak menggunakan kompas sebaliknya menggunakan Cakera Alam yang menggunakan lima buah cakera yang bukan sahaja mampu memberikan petunjuk arah, malahan juga maklumat bintang, tiupan angin, pasang surut air, dan pelbagai lagi.

Selain, itu, kita pada hari ini kagum dengan penciptaan mancis oleh orang Eropah. Namun sebenarnya, sudah lebih 600 tahun orang Melayu mencipta pemetik api yang sistemnya hampir sama dengan pemetik api moden dari segi saiz dan kegunaan. Pemetik api purba ini dibuat daripada tanduk dan bahan bakarnya pula menggunakan ”selubuk”, sejenis serbuk berwarna putih yang diperolehi daripada pohon Enau. Selubuk ini bertindak seperti kerosin dan apabila dimasukkan ke dalam pemetik api dan diketuk, akan mengeluarkan api berwarna biru.

Zainal Al-Johan juga menunjukkan kunci mangga yang dicipta oleh orang Portugis kira-kira 600 tahun dahulu. Kunci mangga ini sama seperti kunci mangga pada masa sekarang. Tetapi Zainal turut menunjukkan kunci mangga yang dicipta orang Melayu kira-kira 2000 tahun dahulu, tiga kali ganda lebih tua daripada kunci mangga ciptaan orang Portugis. Kunci mangga ini seperti kunci mangga sekarang dan menggunakan besi tembaga. Uniknya, lubang kunci berbentuk ”I”, manakala keratan rentas anak kuncinya berbentuk ”T”. Mengikut logik akal, mustahil anak kunci ini boleh dimasukkan ke dalam lubang mangganya. Tetapi orang Melayu pada 2000 tahun dahulu sudah berfikir menggunakan hukum fizik bagi membolehkan kunci mangga ini dibuka dengan mudah.

Alatan muzik tradisional Melayu juga cukup mengagumkan. Misalnya, sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ”Tangtuang” diperbuat daripada tanduk kerbau dan berbentuk seperti trompet digunakan untuk berburu dan memulakan peperangan. Yang menariknya, bahagian dalamnya kosong tanpa ada apa-apa elemen yang boleh membantunya mengeluarkan bunyi. Wartawan ini cuba meniupnya dan sehingga berubah muka menjadi merah pun, tiada bunyi yang terhasil. Zainal menjelaskan cara meniupnya menggunakan pengetahuan prinsip bunyi dalam sains iaitu getaran, dengungan dan ruang (rekabentuk). Apabila beliau menggunakan tiga elemen tersebut ketika meniupnya, Tangtuang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan menggerunkan, sama seperti bunyi serombong kapal!

Rata-rata usia artifak yang disimpan oleh Zainal menjangkau usia ratusan tahun. Namun, kebijaksanaan dan pengetahuan orang Melayu yang menciptanya amat mengagumkan. Secara logik, amat mustahil satu bangsa yang dilabelkan oleh penjajah sebagai pemalas, tidak inovatif, dan kolot, mampu mencipta artifak sehebat itu.

Menurut Zainal, pihaknya berhasrat untuk mendirikan sebuah kompleks Melayu di Kompleks Kristal, Rembau, untuk mempamerkan artifak pupus yang telah dikumpulkan. Kompleks ini diterajui sendiri oleh Teraju Istiadat dan Persatuan Sejarah Malaysia (Kawasan Rembau) serta mendapat sokongan Yayasan Negeri Sembilan
 

No comments:

Post a Comment