Hulubalang Melayu

Hulubalang Melayu

Sunday, November 25, 2012

The Great Malay City States

Kekayaan Malay city states hasil manfaat Selat Melaka

Beberapa catatan pengembara Eropah mengenai Melaka:
“Malacca is such importance and profit, that is has no equal in the world. It is a city state made for merchandise, fitter than any other in the world..”Tom Pires.
“Melaka adalah satu kepentingan dan tempat mencipta keuntungan yang tidak ada tempat yang sama dengannya di dunia. Ia adalah sebuah negara kota yang dibangunkan untuk perdagangan, lebih maju berbanding tempat-tempat lain di dunia .. " - Tom Pires.
---
“Malacca is the richest seaport with the greatest number of wholesale merchants and abundance of shipping that can be found in the whole world..”Duarte Barbosa.
“Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan bilangan peniaga borong paling banyak dan tempat persinggahan perkapalan yang datang dari serata dunia ..” - Duarte Barbosa.
---
Melaka sudah lama menjadi sebutan di seluruh pelosok dunia sebelum bangsa penjajah dari Eropah menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke-16. Populariti Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa paling maju sering disebut-sebut oleh para pedagang India, Arab, China dan beberapa lagi sehingga sampai ke telinga orang Eropah.
Kedudukan Melaka di celah laluan sempit Selat Melaka yang menghubungkan dunia Barat dan Timur menjadikan ia sebagai laluan terpenting sejak berabad lama. Setiap kapal dagang yang membuat pelayaran dari Timur ke Barat atau Barat ke Timur akan singgah di Melaka, melakukan perdagangan dan ia menguntungkan Melaka.
Hasil kegiatan perkapalan dan perdagangan yang sangat maju, Melaka berkembang maju sebagai sebuah Malay City State yang paling terkenal di rantau Asia, lebih terkenal daripada China di Asia Timur dan India di Asia Selatan.
Ia membolehkan Melaka terus maju dari sebuah kerajaan biasa sehingga menjadi sebuah negara kota yang paling kaya di dunia. Kekayaan dan kemegahan Melaka sebagai sebuah negara kota turut diakui sendiri oleh para pengembara Eropah, Tom Pires dan Duarte Barbosa (sekadar memetik beberapa nama) yang kagum dengan Melaka.
Mereka menyifatkan Melaka sebagai sebuah tempat dagang yang cukup kaya dan maju serta tidak sama seperti lain-lain tempat, taraf Melaka diletakkan cukup tinggi di mata penilaian mereka mengikut kaca mata perdagangan antarabangsa.
Malah dicatatkan, Melaka adalah sebuah city state yang seimbang antara kemajuan perdagangannya dengan susun atur masyarakat serta nilai budaya bangsanya yang tinggi. Melaka maju dalam keadaan yang sangat teratur dan terancang, seperti dicatat Pires.
Tom Pires dalam laporan catatannya juga menegaskan bahawa, Melaka harus dimiliki kerana ia penting dalam bentuk ekonomi untuk mencipta lebih banyak keuntungan kepada Portugis. Melaka dan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu adalah destinasi ekonomi yang sangat menguntungkan.
Namun, Melaka adalah episod akhir kepada sejarah kegemilangan Malay City States di Semenanjung Tanah Melayu, andai pernyataan itu tidak silap. Sebelum Melaka menjadi sebuah destinasi perdagangan yang paling gah di Asia Tenggara, sudah banyak Malay City States tumbuh wujud di Asia Tenggara beberapa abad sebelum orang Eropah sampai ke sini dengan membawa armada penjajahan.
Lama sebelum terbinanya Melaka, sudah wujud beberapa kerajaan Melayu di Asia Tenggara sejak berabad lama, antaranya ialah Srivijaya di Sumatera yang wujud sejak tahun 700 Masehi. Sesetengah pendapat mengatakan ia bermula sejak tahun 500 Masehi, lain-lain pendapat pula sekitar tahun 200 Masehi. Kira-kira 1,000 tahun lebih awal daripada Melaka, satu tempoh yang cukup lama dan sudah pasti mempunyai sejarah kegemilangan yang panjang sebelum saat kejatuhannya.
Srivijaya, sebuah Maritime Malay City State (negara kota Melayu berasaskan kegiatan maritim / laut) yang pertama, menjadi sebuah kuasa besar di dunia Melayu sejak sebelum kedatangan Islam. Ia juga mempunyai benang yang bersambung dengan darah Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu, Srivijaya adalah sebuah kerajaan yang menganut Hindu-Buddha, manakala bangsanya ialah Melayu.
Sami Buddha dari China, I-Ching yang singgah ke Srivijaya pada tahun 675M merekodkan bahawa beliau menemui satu bangsa di sana yang mempunyai set budaya, kemajuan taraf kehidupan dan kehalusan nilai tamadun yang tinggi. Beliau mencatatkan bangsa itu sebagai Malayu. Daripada catatan I-Ching, difahami bahawa Srivijaya adalah sebuah Malay City State yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi.
Srivijaya ialah empayar Melayu paling gah di Asia Tenggara dan mempunyai kesinambungan kepada Kesultanan Melayu Melaka. Dalam erti kata lain, Melaka mewarisi nilai-nilai sosio-budaya, sistem pemerintahan dan sebagainya daripada Srivijaya yang kini Palembang.
Sumber teks Sejarah Melayu juga ada menyebut bahawa darah sultan-sultan Melaka adalah susur galur keturunan diraja Srivijaya. Melalui inskripsi sejarah Kedukan Bukit, pengasas Srivijaya adalah Dapunta Hiyam yang menakluk Jambi sehingga mengembangkan kuasa dan pengaruh ke negeri-negeri di Selat Melaka, termasuk Melaka yang masih sebagai wilayah kecil taklukan Srivijaya pada masa itu.
Kerajaan Kedah Tua (Kataha) yang lebih dahulu wujud juga jatuh ke tampuk kuasa Srivijaya semasa pemerintahan Dapunta. Rekod-rekod di Ligor, Jaiya dan sekitar Segenting Kra, persekitaran politik di sana menerima pengaruh Srivijaya pada kira-kira 775 Masehi berikutan daripada sistem pemerintahannya yang teratur dan kemas.
Menurut Jan W. Christie dari Pusat Pengajian Asia Tenggara, University of Hull melalui jurnal bertajuk Trade and Early State Formation in Maritime South East Asia: Kedah and Srivijaya mengatakan, jauh lebih awal iaitu sekitar abad ke-2 Sebelum Masehi, direkodkan wujud perdagangan gangsa antara Kedah Tua dengan India yang membawa Kedah Tua menjadi sebuah city state sebelum tertakluk di bawah Srivijaya. Sebelum itu pula, Kedah Tua juga direkodkan pernah menjalankan perdagangan logam-logam benilai tinggi dengan China dan India.

Christie juga mengatakan, sejak akhir zaman logam, hubungan dagangan antarabangsa antara Kedah Tua dengan China dan India telah mencapai zaman kegemilangannya. Apabila memasuki abad pertama Masehi, hubungan dagang Kedah Tua terus berkembang pesat dengan memperbesar hubungan dagang dengan negara-negara di sekitar Laut Meditteranean.

Tambah Christie lagi, negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan gugusan Kepulauan Melayu (Indonesia) adalah wilayah-wilayah ekonomi terbesar dunia sejak abad-abad Sebelum Masehi lagi.

Di Sumatera, keadaan tanah subur juga membolehkan kegiatan pertanian berkembang pesat menjadi industri pengeluaran bahan makanan terutama beras. Hasil pengeluaran pertanian didagangkan kepada para pedagang yang singgah di pelabuhan-pelabuhan dan menyumbang kepada pendapatan yang besar dan dibayar dengan emas. Manakala emas pula banyak dilombong di Pahang dan Tembeling untuk dijadikan perhiasan dan mata wang bagi tujuan perdagangan.

Sejak abad pertama Masehi juga, tanah Semenanjung pernah menjalankan perdagangan bijih timah semalam beberapa kurun. Hasil-hasil logam seperti timah dan emas mendatangkan pulangan yang tinggi kepada negeri-negeri Melayu sejak Sebelum Masehi. Ia dieksport ke serata dunia dan menjadi tumpuan negara-negara di sebelah Asia Timur, Meditteranean dan Asia Selatan yang berminat untuk menjlain hubungan dagang dengan negeri-negeri Melayu pada masa itu.

Apabila Kedah Tua tertakluk di bawah Srivijaya, hubungan dagang tetap diteruskan antara kedua-duanya dan menjadikan hubungan dagangan lebih rancak dalam mencipta kekayaan bersama. Meskipun Kedah Tua berada di bawah kuasa Srivijaya, ia tetap memainkan peranan dalam mencipta kekayaan di sekitar Selat Melaka.

Manfaat daripada penguasaan Srivijaya, pentadbiran di Kedah Tua dapat diperkemaskan melalui kemahiran Srivijaya dalam mengurus tadbir wilayah-wilayahnya dan seterusnya menjalinkan pula hubungan dagang dengan Timur Tengah melalui Merbok dan Kuala Muda di Kedah.

Namun, Srivijaya lebih dominan dalam menentukan hala tuju prospek ekonomi perdagangan Kedah Tua. Walaupun begitu, Kedah Tua mampu berubah menjadi city state selepas menerima pengaruh urus tadbir dari Srivijaya terutama dalam hal ehwal perdagangan.

Pada suku akhir abad ke-7, inskripsi Telaga Batu merekodkan ciri-ciri pemerintahan city state Srivijaya dengan teratur dalam pentadbiran empayar. Empayar Srivijaya dibahagi kepada beberapa mandala dan setiap mandala ditadbir urus dengan sistematik oleh seorang datu atau gabenor atau duta terdiri daripada anak-anak raja yang bukan pewaris takhta atau anak-anak keturunan pembesar yang dilantik mengikut syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
Datu pula dibantu parvanda yang berkuasa sebagai ketua tentera atau armada bagi menjaga keselamatan sekitar empayar. Dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, wujud juga jawatan yang sama dalam menjaga hal ehwal pentadbiran empayar, jawatan itu dipanggil mandulika.

Hierarki pentadbiran dan kelas sosial Srivijaya, golongan anak gahara (anak-anak berdarah raja dari sebelah ibu dan ayah) terbahagi kepada empat kelas iaitu Yuvaraja yang sama tarafnya dengan Tengku Mahkota (Crown Prince), diikuti pratiyuvaraja yang pada masa tertentu akan juga dilantik menjadi yuvaraja. Susun lapis ketiga pula ialah kumarra dan keempat, rajaputra (bukan anak gahara, salah seorang ibu atau bapa bukan dari golongan raja).

Dalam inskripsi Kota Kapur, kelas sosio-politik di Srivijaya direkodkan dua jenis golongan. Golongan pertama ialah keturunan yang mempunyai darah raja (kerabat) seperti diterangkan di atas dan golongan kedua pula ialah terdiri daripada golongan sanapatti (ketua hulubalang), nayakka (penghulu bendahari), hajeeprattyaya (temenggung) dan dandanayakka (kehakiman) yang berfungsi sebagai golongan pentadbir dalam bidang masing-masing yang berkhidmat untuk raja-raja.

Inskripsi Telaga Batu juga merekodkan satu golongan yang memainkan peranan dalam membangunkan Srivijaya sebagai sebuah city state. Golongan itu ialah tuan vatakvurra (penyelia dagang), nakhoda (kapten kapal) dan vaniagga (pedagang). Kumpulan inilah yang berperanan dalam menjadikan Srivijaya sebagai sebuah kerajaan yang dikenali di seluruh dunia pada masa itu dalam kegiatan perdagangan.

Tanpa perdagangan, Srivijaya tidak mampu berdiri sebagai sebuah city state jika hanya terlalu bergantung harap kepada sumber kekayaan wilayah-wilayah dalam empayar. Susun atur dalam lapis sosial juga menunjukkan bahawa Srivijaya adalah sebuah kerajaan yang advance atau maju. Jauh lebih advance jika dibandingkan dengan masyarakat Eropah pada masa itu yang masih hidup dalam Zaman Gelap.

Srivijaya tidak menjadi gah kerana empayarnya, sebaliknya ia menjadi gah disebabkan kekuatan perdagangannya sehingga menjadikan ia sebuah kerajaan yang kaya. Kekukuhan Srivijaya banyak bergantung kepada suasana perdagangan laut di Selat Melaka. Pada hujung abad ke-8, Srivijaya menguasai keseluruhan kegiatan dagangan antarabangsa di Selat Melaka.

Pusat-pusat dagangan di Lembah Bujang (Kedah), Jenderam Hilir (Selangor) dan Kuala Selinsing adalah antara yang pernah dikuasai Srivijaya untuk tujuan perdagangan pada abad ke-11.

Penyelidik sejarah, F.L Dunn dan Alaistair Lamb berpendapat, jajahan-jajahan Srivijaya turut menjalankan kegiatan perlombongan logam-logam bernilai tinggi. Seorang lagi penyelidik, W. Wolters menyatakan, hasil pengeluaran dari wilayah-wilayah empayar membolehkan Srivijaya menjalankan hubungan dagang bersama China.

Hasil kerancakan perdagangan pula membolehkan Srivijaya mengutip cukai daripada para pedagang bagi tujuan pembangunan wilayah-wilayah. Ia adalah sistem cukai untuk tujuan pembangunan yang terancang. Malah, ia juga antara ciri-ciri advance yang terdapat dalam sistem kutipan hasil untuk tujuan pentadbiran Srivijaya. Kecekapan mengurus tadbir hasil kekayaan itu telah membawa Srivijaya bangun sebagai sebuah city state yang gemilang dan dikenali serta disebut-sebut di seluruh pelosok dunia pada masa itu.

Istilah city state juga memberi gambaran bahawa semua penduduknya memiliki kekayaan dan tidak hidup miskin. Seorang penulis Arab, Abu Zaid merekodkan, hasil kekayaan yang dipungut Srivijaya melalui kegiatan perdagangan juga diagihkan kepada rakyat jelata. Ia bermakna, Srivijaya ada sebuah kerajaan yang sangat kaya kerana mampu membahagikan kekayaan negara kepada semua rakyatnya. Lazimnya, kekayaan itu diagihkan dalam bentuk emas. Catatan Abu Zaid juga menunjukkan Srivijaya adalah sebuah empayar yang kaya dengan emas.

Malah, golongan yang bergelar pelajar juga diberikan bantuan (seperti biasiswa) apabila berhijrah ke tempat lain bagi tujuan itu. Dalam inskripsi Nalanda yang ditulis pada 949 Masehi, direkodkan sebuah kuil dibina Maharaja Rajaputradewa bagi tujuan pusat pengajian dan setiap pelajar diberikan bantuan dalam bentuk biasiswa.

Kekayaan yang pernah dinikmati Srivijaya banyak dipengaruhi oleh fungsi Selat Melaka sebagai laluan perdagangan antarabangsa yang menghubungkan dunia Timur dan Barat. Kesan daripada fungsi Selat Melaka, wilayah-wilayah kecil dalam empayar Srivijaya mendapat faedah ekonomi yang besar. Selepas kejatuhan Srivijaya, wilayah-wilayah kecil itu berpecah menjadi wilayah-wilayah yang menjalankan urus tadbir sendiri.

Lama-kelamaan, wilayah-wilayah kecil itu terus berkembang dalam aspek ekonomi disebabkan faedah yang diterima daripada fungsi Selat Melaka. Perkembangan itu yang bermula daripada wilayah-wilayah kecil kemudian berubah menjadi negeri-negeri kecil. Perubahan itu juga didorong oleh fungsi Selat Melaka sebagai laluan perdagangan antarabangsa.

Kemudian tumbuhlah Melaka, Johor-Riau serta Acheh yang mendapat manfaat Selat Melaka yang sangat strategik. Parameswara, putera dari darah istana Srivijaya boleh sahaja berdiam membuka kerajaan di lain-lain tanah yang tidak menghadap Selat Melaka, namun Parameswara memilih Temasik kemudian Melaka kerana Temasik dan Melaka berada dalam laluan Selat Melaka yang mempunyai nilai perdagangan antarabangsa. Ia kerana Selat Melaka adalah jantung kepada perdagangan dan lubuk kekayaan orang Melayu di rantau ini.
Negeri-negeri kecil yang terbangun selepas kejatuhan Srivijaya, daripada pengkalan kemudian berubah menjadi pelabuhan besar yang kaya dan dipenuhi kapal-kapal dagang dari serata dunia. Tidak semua negeri Melayu di sepanjang Selat Melaka bertukar menjadi pelabuhan entreport berkepentingan besar, namun ia tetap menyumbang kepada kekayaan hasil daripada perdagangan antarabangsa. Melaka pula menjadi pelabuhan yang paling sibuk dan paling berkepentingan besar apabila kapal-kapal dagang dari serata dunia berhenti singgah untuk berdagang di situ.
Acheh, Siak, Jambi, Melaka, Banten, Makassar, Ambon, Semarang dan Palembang menikmati kekayaan yang bertali arus dengan Selat Melaka. Kapal-kapal dagang dari serata dunia yang lalu di Selat Melaka berlabuh dan menjalan kegiatan tukaran dagangan di pelabuhan-pelabuhan di sana. Ia menjadikan pelabuhan-pelabuhan kecil di sana bertukar menjadi pelabuhan-pelabuhan besar bertaraf antarabangsa dan mencipta kekayaan kepada negeri-negeri yang terlibat dan seterusnya menjadi city states yang masyhur.
Selat Melaka menyediakan perkhidmatan perbekalan bahan-bahan segar dan mewah seperti emas dan logam-logam bernilai tinggi. Kapal-kapal dagang singgah di Selat Melaka untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih ketika berlabuh di negeri-negeri Melayu. Kanun Laut Melaka pula diperkenalkan bagi melicinkan kegiatan perdagangan di Selat Melaka. Ia menjadikan perdagangan lebih sistematik dan advance.
Selat yang sempit itu pula membolehkan negeri-negeri Melayu yang menghadap di sekitar Selat Melaka menjalankan perdagangan sesama mereka kerana jaraknya yang tidak jauh. Ia mendorong perkembangan hubungan ekonomi serantau yang rancak dan menyaksikan pertukaran jual beli barangan yang menyumbang ke arah pembangunan ekonomi sehingga terbinanya city states yang kaya raya.
Direkodkan, para pedagang India singgah di negeri-negeri Melayu di Selat Melaka untuk menjual barangan mereka bagi mendapat tukaran emas sebagai elemen jual beli. Para pedagang dibayar dengan emas ketika berurusan di negeri-negeri Melayu pada ketika itu.

Melaka yang menjadi tempat jualan hasil bumi, rempah ratus dan herba ubatan didatangkan dari negeri-negeri Melayu yang lain. Dalam erti kata lain, Melaka sebelum dimasuki Portugis pernah menjadi one-stop-center untuk para pedagang dari India, Arab, Parsi dan China mendapatkan semua barang-barang yang diperlukan dan setiap urus niaga pula melibatkan elemen pembayaran menggunakan emas. Para pedagang itu tidak perlu singgah di banyak tempat untuk mendapatkan barang-barang yang diperlukan, sudah memadai untuk mereka singgah di Melaka bagi mendapatkan semua barangan itu.

Kesannya, Melaka membangun pesat menjadi sebuah city state dalam masa singkat, hasil daripada fungsi Selat Melaka yang mempunyai nilai besar kepada ekonomi perdagangan antarabangsa.

Perkembangan negeri-negeri Melayu hasil daripada manfaat Selat Melaka menjadikan negeri-negeri Melayu berubah menjadi city states yang kaya raya sejak berabad lama sebelum zaman penjajahan Eropah di rantau ini bermula dengan kejatuhan Melaka terhadap Portugis pada 1511 Masehi. Melaka pula pernah bersinar sebagai bintang paling cerah di episod akhir Malay City States sebelum penaklukan Portugis.
Bermula dengan kejatuhan Melaka ke tangan orang Eropah, ia kemudian disusuli dengan episod-episod pilu jatuhnya satu persatu Malay city states yang lain. Nenek moyang orang Melayu yang kaya raya bermandi emas sejak zaman Srivijaya, telah jatuh ke lantai dan dipijak-pijak oleh bangsa Eropah yang dengki melihat kekayaan negeri-negeri Melayu melalui manfaat Selat Melaka.
Bangsa Eropah kemudian rakus menguasai Selat Melaka untuk manfaat ekonomi mereka. Saat bermulanya penguasaan bangsa Eropah ke atas laluan perdagangan antarabangsa yang paling strategik di Selat Melaka, negeri-negeri Melayu hancur lunyai dipaksa menerima penjajahan yang merampas semua kekayaan sejak berabad lama. 

No comments:

Post a Comment